Pages

Rabu, 24 Julai 2013

ASEAN

PENGUKUHAN  ASEAN
 ASEAN merupakan asas bagi dasar luar negara Malaysia. ASEAN juga penting dari segi geopolitik dan ekonomi berkaitan Malaysia dan kepada negara di rantau ini. Pendirian ASEAN yang menolak kekerasan dan menggalakkan penyelesaian masalah secara aman menjadi asas kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini. Menjelang tahun 2015, sebuah komuniti Asean akan ditubuhkan. Komuniti ini dibina berdasarkan tiga tunggak kerjasama, iaitu Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC).
 ASEAN berazam untuk mempercepat pelaksanaan sepenuhnya bidang, langkah dan prinsip program Komuniti ASEAN dengan kefleksibelan yang sewajarnya selain mengenal pasti pentingnya negara anggota ASEAN mengamalkan pendekatan seimbang ke arah mencapai semua tiga tunggak Komuniti ASEAN.  Dengan Pelan Tindakan dan Protokol yang bersungguh-sungguh, ASEAN semakin menghampiri matlamatnya untuk membina Komuniti ASEAN yang mempunyai ciri interaksi dan penglibatan politik dan keselamatan yang lebih baik, pasaran tunggal dan asas pengeluaran dengan aliran bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan modal dan buruh mahir serta masyarakat penyayang, menumpukan kepada pembangunan sosial, pendidikan dan modal insan, kesihatan awam, kebudayaan dan maklumat serta penjagaan alam sekitar.
 ASEAN mengemukakan rangka tindakan bagi tiga tunggak komuniti yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan penyelarasan dalam kalangan sektor berkaitan bagi negara anggota ASEAN. Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN digunakan oleh pemimpin ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-13 pada November 2007. Dua rangka tindakan lain – Rangka Tindakan Keselamatan Politik Komuniti ASEAN dan Rangka Tindakan Sosiobudaya Komuniti ASEAN telah menjalani proses pendrafan dan sedia untuk digunakan oleh pemimpin ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Thailand. Untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran serantau yang berubah dan cabaran masa depan, ASEAN mengemukakan Piagam ASEAN. Dengan Piagam ini, ASEAN akan mengalami perubahan untuk menjadi pertubuhan yang berasaskan peraturan dan bercirikan undang-undang.
 Piagam ini menekankan prinsip sama yang mengikat kesemua 10 negara anggota ASEAN, iaitu kedaulatan undang-undang, pentadbiran yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan; perkongsian komitmen dan tanggungjawab kolektif dalam mempertingkat keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau; serta mempertingkat rundingan dalam perkara yang mempengaruhi kepentingan bersama ASEAN. Isu Sebagai anggota asal ASEAN, dasar luar negara Malaysia terus menekankan kerelevanan dan kepentingan ASEAN sebagai forum dan pemangkin untuk dialog serantau. Perkongsian Dialog ASEAN, Forum Rantau ASEAN, ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur membolehkan anggotanya untuk mengajak kuasa-kuasa besar membincangkan isu penting serantau dan sejagat.
 Dalam usaha menjadikan ASEAN pertubuhan serantau yang lebih berkesan, bersepadu, berdasarkan peraturan dan berorientasikan penduduk, negara anggota ASEAN memutuskan untuk merumuskan Piagam ASEAN yang akhirnya ditandatangani dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-13 di Singapura. Piagam ASEAN akan menetapkan rangka kerja institusi yang baru dan sah untuk memperbaik pelaksanaan, penyelarasan dan proses membuat keputusan. Piagam ini berkuat kuasa pada 15 Disember 2008.  
Strategi
 Dalam strategi dasar luar negara, Malaysia akan terus menegaskan komitmen dan tugasnya dalam ASEAN untuk mencapai keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini. Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan rakan negara anggota ASEAN ke arah mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang 2015. Dalam skala yang lebih besar, ASEAN akan menggalakkan hubungan yang lebih erat dengan kumpulan serantau lain tentang isu kepentingan dan manfaat bersama.

ASEAN SEBAGAI TONGGAK DASAR LUAR NEGARA MALAYSIA
 Di peringkat subwilayah, usaha dipertingkat untuk memperoleh manfaat daripada konsep segi tiga pertubuhan, seperti BIMP-EAGA. Usaha tersebut pastinya membolehkan kemakmuran disebarkan ke kawasan yang kurang membangun, lalu menjadikan “dasar makmurkan jiran anda” menjadi lebih bermakna.
 Di peringkat serantau, Malaysia akan terus mendesak supaya ASEAN diperkukuh menjadi kumpulan serantau. Ini termasuk memberikan sokongan kepada semua fungsi kerjasama yang berasaskan sub-serantau (contohnya Kerjasama Pembangunan Mekong ASEAN) atau yang berasaskan seluruh ASEAN, pelaksanaan AFTA secara berperingkat dan kawasan pelaburan ASEAN.
Dalam dasar luar negara Malaysia, kerjasama serantau sentiasa menjadi tumpuan utama. ASEAN terus menjadi asas dalam dasar ini. Dalam hal ini, Malaysia mengutamakan hubungan dengan negara di rantau Asia Tenggara. ASEAN akan terus menjadi asas dalam dasar luar negara kita dan forum paling berpengaruh untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau melalui dialog dan kerjasama. Keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang dinikmati oleh Malaysia pada hari ini sebahagian besarnya disebabkan peranan ASEAN sebagai pertubuhan yang memupuk kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan negara anggotanya.
 Selaras dengan Perjanjian Bali I dan II, usaha kita akan ditumpukan kepada mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang 2020 yang terdiri daripada tiga tunggak, iaitu Komuniti Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio- Budaya ASEAN. Kita akan terus memberikan tumpuan untuk mempertingkat mekanisme ASEAN, ASEAN, +3 ARF, merapatkan jurang teknologi dan pembangunan antara negara anggota ASEAN yang lama dengan yang baru serta menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan melalui diplomasi dan dialog.
Sejak penubuhannya, ASEAN telah membentuk dan memperhalus pelbagai mekanisme dan pengaturan untuk menggalakkan perdagangan, pelaburan dan aktiviti usaha sama yang lain. Sebahagian besar daya tarikan ASEAN terhadap dunia luar dibina atas kejayaan ekonomi negara anggotanya dan potensi untuk terus berkembang. Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi ASEAN, seperti keganasan antarabangsa, kelembapan ekonomi, keadaan ekonomi semasa dan krisis kewangan, kejayaan kita ialah hasil daripada usaha sama yang dilaksanakan oleh ASEAN.
Selanjutnya, dalam situasi pra-perang dingin yang menyaksikan kemunculan kumpulan ekonomi serantau lain yang memberikan persaingan dan persekitaran keselamatan serantau yang tidak menentu, Malaysia percaya bahawa ASEAN yang kukuh dan berjaya bukan sahaja perlu dalam ekonomi, tetapi juga merupakan keperluan yang strategik. ASEAN makmur, utuh dan stabil dan hidup secara harmoni dengan negara jiran terdekatnya akan menjamin keselamatan seluruh rantau Asia Tenggara dan Asia Timur.
 ASEAN yang berkembang daripada negara anggota, asalnya dengan memasukkan negara Asia Tenggara yang lain memberikan sumbangan yang besar dalam membina daya pulih negara, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, mempertingkat kerjasama serantau dan memastikan wujudnya keamanan dan keselamatan serantau.
 Malaysia percaya bahawa kewujudan ASEAN telah menggalakkan corak tindakan yang mengurangkan risiko keselamatan dengan meningkatkan hubungan dua hala serta menerapkan tabiat berdialog secara terbuka tentang perkara berkaitan politik dan keselamatan secara terbuka termasuk mengadakan langkah membina keyakinan. Dialog melalui proses ASEAN PMC dan Forum Serantau ASEAN (ARF), dengan ASEAN berfungsi sebagai kumpulan asas, dapat membantu mencapai matlamat tersebut.
 Malaysia berharap bahawa kewujudan awal zon yang aman bebas dan berkecuali (ZOPFAN) termasuk zon bebas senjata nuklear Asia Tenggara (SEANFWFZ) akan membantu mempertingkatkan keselamatan serantau.
Walaupun ada kritikan yang dilemparkan kepada ASEAN, ternyata bahawa kerjasama dengan negara ASEAN kini bertambah kukuh. ASEAN tidak pernah hilang kedinamikannya, daya maju dan kerelevanannya dengan kemasukan negara anggota yang baru. Sebaliknya, minat yang meningka terhadap ASEAN dan permintaan yang dibuat untuk menjadi rakan dialog sektor oleh beberapa negara Asia, Afrika dan Amerika Latin menunjukkan penghargaan tinggi yang diberikan oleh mereka kepada ASEAN sebagai sebuah pertubuhan serantau.


Sumber: Portal Rasmi Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan