Pages

Ahad, 16 Jun 2013

Destinasi pelancongan kesihatan

 Nor Afzan Mohamad Yusof | afzan@mediaprima.com.myCetak
Destinasi pelancongan kesihatan
Malaysia jadi tumpuan pesakit luar negara dapatkan pelbagai rawatan

Industri pelancongan kesihatan antara cabang bidang berpotensi melonjak pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti sektor lain. Kecemerlangan Malaysia menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan itu menarik pelancong asing berkunjung di negara ini bagi mendapatkan pelbagai jenis rawatan penyakit. 

Berdasarkan laporan peratusan pelancongan kesihatan negara mencatatkan pertumbuhan lebih 20 peratus sejak tiga tahun lalu dengan angka tertinggi dicatatkan tahun lalu yang mana perolehan pendapatan dalam bidang itu sebanyak RM570.5 juta, melebihi angka sasaran sebelum ini iaitu RM548 juta. 
Diimbas jumlah pendapatan pada 2011 pula, ialah sebanyak RM511 juta meningkat 34.9 peratus berbanding RM378.9 juta, tahun sebelumnya. Jumlah itu juga melepasi sasaran awal dibuat iaitu RM431 juta. 


Malaysia terus menjadi destinasi pelancongan kesihatan apabila seramai 583,000 orang mengunjungi Malaysia untuk mendapat pelbagai rawatan, pada 2011. 

Perangkaan tahun lalu, merekodkan pelancong Indonesia paling tinggi datang negara ini, iaitu sebanyak 60 peratus, diikuti India, Jepun, United Kingdom, Iran, Nepal dan Bangladesh. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kejayaan itu hasil tindak balas kerajaan terhadap kehendak pelancong, selain strategi pemasaran yang berkesan. 

Katanya, antara faktor peningkatan ialah kemudahan berkualiti, kos rawatan, perubatan pada kadar mampu dibiayai dan persekitaran negara yang mesra pelancong. 
“Mereka semakin yakin dengan kualiti kesihatan ditawarkan Malaysia, walaupun dalam keadaan ekonomi global tidak menentu. Malah kita berusaha memastikan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada sektor ini berbanding lapan peratus sekarang. 

“Maklum balas diterima, pelancong gembira datang ke Malaysia kerana mudah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan kualiti kesihatan yang baik. Justeru, beliau memberi jaminan kerajaan akan tetap mengekalkan kepentingan dalam sistem kesihatan di negara ini sekalipun wujud peningkatan inisiatif dalam sektor swasta,” katanya pada majlis perasmian majlis perasmian Persidangan Penjagaan Kesihatan Asia 2013, di ibu kota baru-baru ini. 

Persidangan itu menghimpunkan individu berpengaruh termasuk menteri kewangan dan penggubal polisi negara Asia bagi membahaskan kepentingan nilai dalam menetapkan dasar penjagaan kesihatan. 

Sidang kemuncak memberi tumpuan bagaimana nilai memainkan peranan dalam menetapkan keutamaan penjagaan kesihatan, sistem kesihatan terbaik, inovasi berperanan memacu nilai dan meningkatkan hasil. 

Dengan potensi itu, sewajarnya Malaysia terus memajukan bidang itu dengan menawarkan perkhidmatan lebih hebat dari segi saringan perubatan, diagnostik, pembedahan kosmetik, kardiologi, oftalmologi, pembedahan saraf dan ginekologi, selain perkhidmatan kesihatan seperti homeopati, spa, refleksologi serta rawatan tradisional.
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Destinasipelancongankesihatan/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan